'Masjid & budaya tradisional akan ditampilkan dalam video promosi penuh' – Menteri Pelancongan | The Reporter

‘Masjid & budaya tradisional akan ditampilkan dalam video promosi penuh’ – Menteri Pelancongan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Susulan isu tular mengenai ketiadaan visual masjid dalam montaj video pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing tampil menafikan dakwaan tersebut.

Jelasnya, montaj berkenaan dihasilkan dalam versi pendek dan ringkas khusus untuk majlis pelancaran. Menurutnya, visual masjid seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi versi penuh yang lebih panjang dan terperinci, yang kini berada di peringkat akhir penghasilan.

“Malaysia kaya dengan pelbagai keindahan dan keunikan, termasuk seni bina masjid yang memukau. Elemen-elemen ini telah dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci untuk memberikan paparan yang lebih mendalam,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa video promosi tersebut akan memaparkan elemen budaya lain seperti seni mempertahankan diri silat, serta tarian tradisional Ngajat dan Sumazau. Video ini dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan warisan.

Tidak Mengabaikan Sensitiviti Agama

Tiong menjelaskan tujuan video promosi tersebut adalah untuk menonjolkan nilai Malaysia sebagai destinasi pelancongan secara menyeluruh, tanpa menumpukan kepada mana-mana kaum atau agama tertentu.

Dalam responsnya juga, Tiong menafikan dakwaan tersebut dan menyeru agar isu ini tidak dipolitikkan atau digunakan sebagai bahan untuk mencetuskan sentimen perkauman dan keagamaan.

“Saya amat kesal dengan tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi isu ini untuk mencetuskan sentimen agama dan perkauman. Sikap ekstremis seperti ini sebenarnya mencabar keharmonian sosial kita, bukan usaha promosi kementerian,” tegasnya.

Beliau juga menolak sebarang dakwaan bahawa kementeriannya membawa agenda yang bercanggah dengan semangat “Malaysia Madani”, dan mengingatkan semua pihak untuk mengutamakan perpaduan serta saling menghormati demi kesejahteraan bersama.

Terdahulu, video berdurasi 41 saat yang dimuat naik di laman Facebook Tourism Malaysia sebelum ini menimbulkan persoalan daripada sesetengah pihak, termasuk Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin, yang meminta penjelasan mengenai ketiadaan elemen masjid dalam montaj tersebut.

Bagaimanapun, video tersebut kini telah dikeluarkan daripada saluran YouTube rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Sumber: Malaysia Kini

Related Posts