Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengesahkan bahawa 40 hingga 50 peratus beras import yang dianalisis bercampur dengan beras putih tempatan (BPT). Ini berdasarkan kajian terhadap 5,000 sampel yang dijalankan sepanjang tahun 2023 dan 2024 menggunakan teknologi pencapjarian DNA.
Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) MARDI, Mohd Syahril Firdaus Ab Razak, berkata sampel beras tersebut diterima daripada Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kami menerima sampel beras ini daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diambil daripada pengilang untuk menjalankan analisis bagi mengenal pasti varietynya,” katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Campuran beras berlaku di peringkat pengilang
Mohd Syahril menjelaskan, campuran beras berlaku di peringkat pengilang. Petani menanam padi menggunakan benih tempatan, namun apabila dijual kepada pengilang, beras tempatan dicampur dengan beras import sebelum dijual di pasaran.
Menurutnya, kajian ini dijalankan bagi menyiasat isu kehilangan beras putih tempatan di pasaran. Campuran beras ini dipercayai menjadi punca kekurangan bekalan beras tempatan.
“Laporan penuh analisis beras berkenaan telah dihantar kepada pihak berkaitan,” katanya lagi.
Teknologi DNA kenal pasti campuran beras
MARDI menggunakan teknologi pencapjarian DNA untuk mengesan campuran beras. Setiap sampel diambil secara rawak dari tiga bahagian dalam kampit beras iaitu atas, tengah, dan bawah. Sampel ini kemudiannya melalui proses pengekstrakan DNA dan kawalan kualiti.
Teknologi ini membolehkan MARDI mengesan varieti dan sumber asal beras dengan tepat.
“Teknologi Pencapjarian DNA ini mampu mengesan vareti dan sumber asal beras dengan bukti saintifik,” jelasnya.
Tiada akta halang campuran beras
Mohd Syahril memberitahu, setakat ini tiada undang-undang yang melarang campuran beras tempatan dengan beras import. Oleh itu, MARDI dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang berbincang untuk menggubal peraturan baharu mengenai perkara ini.
“Pusat penyelidikan ini bersama-sama dengan KPKM sedang berbincang mengenai peraturan baharu berkaitan beras putih tempatan dan beras import,” katanya.
Spekulasi kehilangan beras tempatan terjawab
Isu kekurangan beras putih tempatan di pasaran telah mencetuskan spekulasi sejak dua tahun lalu. Penubuhan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan pada tahun 2023 bertujuan menyiasat perkara ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, menyatakan kemungkinan wujud kartel dalam industri ini yang menyalahgunakan kedudukan untuk mengawal bekalan benih dan import.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian








