'Manusia bila gagal, bagi alasan' - Persekutuan Renang Malaysia kata, Pandelela sengaja cipta alasan tutup kekalahan di Doha - The Reporter

‘Manusia bila gagal, bagi alasan’ – Persekutuan Renang Malaysia kata, Pandelela sengaja cipta alasan tutup kekalahan di Doha

Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu memberikan kekecewaan buat penerjun negara Datuk Pandelela Rinong apabila gagal beraksi cemerlang.

Kegagalan itu dakwanya berkait dengan entiti yang mengganggu dan perkara tersebut di luar jangkaan, selain menyatakan nasib tidak menyebelahi skuad terjun.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low menyifatkan sebaliknya atas dakwaan yang dikeluarkan oleh Pandelela.

“Manusia bila gagal bagi alasan, tolak kiri kanan. Ini orang semua tidak profesional, tetapi mahu ambil gaji.

“Setahu saya sebelum kejohanan kita dengannya setiap kali berjumpa, bermesyuarat dan bincang, tanya ada masalah atau tidak. Tidak ada yang hendak cakap,” katanya.

Ujar Andy, semua itu adalah alasan selepas dan sebagai manusia sudah tentu cuba memusingkan fakta serta keadaan sebenar. Katanya lagi, sepatunya Pandelela harus meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalannya.

“Mesti kita hormati alasan Pandelela, kita akan duduk berbincang seawal mungkin panggil dia kita mahu tahu dulu apa masalah itu,” kata Andy.

Hormati keputusan Pandelela

Andy turut menjelaskan, persatuan menghormati keputusan Pandelela yang masih mahu meneruskan karier. Tetapi katanya jika Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tidak dapat dicapai, Pandelela tahu kedudukannya di mana.

“Tidak ada masalah itu hak rakyat, anda tidak mahu bersara mahu ‘loncat’ sampai 60 tahun pun saya terima. Tetapi bila ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan MAS anda tidak boleh capai, anda tahu pintu itu di mana.

“Tak perlu kita halau, kita halau kata orang tak elok. Dia pun sudah banyak naikkan nama Malaysia. Tetapi bila anda bukan lagi dalam keadaan seperti dulu, harus sedar diri.

“Kalau dia mahu cakap macam itu kita guna KPI, setiap tahun anda mesti capai KPI. Kalau tidak boleh capai, tidak boleh salahkan kami,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
error: Content is protected !!