Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Susulan kes seorang wanita warga emas dipukul dalam video tular di media sosial hari ini, polis telah menahan suspek lelaki berusia 26 tahun.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya mengesan penularan video tersebut yang melibatkan pergaduhan jiran di kawasan Tanjung Kling, Melaka.
Siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku pada jam 1.20 petang Ahad, 28 Januari yang membabitkan mangsa berusia 76 tahun.
Tegur suspek bakar sampah
Difahamkan, mangsa terdahulu pergi ke kawasan Glamping Homestay untuk berjumpa dengan pemiliknya. Namun berlaku pertengkaran mulut di antara mangsa dengan suspek yang merupakan cucu pemilik kawasan itu.
“Pengadu menegur tindakan suspek yang membakar sampah secara terbuka di dalam kawasan tanah pengadu sehingga menyebabkan pengadu sesak nafas kerana asap yang banyak.
“Tiba-tiba suspek meluru ke arah pengadu dan terus menumbuk pengadu beberapa kali di bahagian muka.
“Semasa pengadu cuba melarikan diri, suspek telah pukul pengadu di bahagian belakang kepala sehingga terjatuh,” katanya.
Mangsa alami kecederaan soft tissue injury
Suspek juga mengugut mahu memukul mangsa dengan kayu menyebabkan warga emas itu segera melarikan diri ke dalam rumah.
Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di bahagian belakang kepala, muka, leher dan belakang badan. Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan soft tissue injury.
Polis yang mendapat laporan berhubung kejadian itu, kemudian menahan suspek pada jam 12.10 malam Isnin, untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.