Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Satu kajian daripada sebuah syarikat terkenal, Remote mendedahkan Malaysia berada di kedudukan kedua terendah daripada 60 negara berkaitan isu ‘work life balance’ atau keseimbangan antara kehidupan dan kerja.
“Rakyat Malaysia didapati bekerja keras daripada jangka masa yang sepatutnya dan hanya mempunyai sedikit atau tiada masa untuk berehat.
“Mereka juga didapati tiada ruang untuk memulihkan tenaga daripada hari yang panjang serta penuh tekanan di tempat kerja,” tulis kajian Remote.
Kajian yang ternyata mengejutkan ramai pihak itu dianalisis berdasarkan data yang dikumpul pada Mac 2023 dengan berdasarkan beberapa faktor.
Antaranya seperti bilangan hari cuti tahunan berkanun, bayaran sakit berkanun minimum, bilangan hari cuti bersalin berkanun, peratusan gaji untuk cuti bersalin berkanun, gaji minimum, penjagaan kesihatan, indeks kebahagiaan, purata waktu kerja mingguan dan lain-lain lagi.
Kedudukan ke 59 daripada 60 negara
Dalam kajian tersebut, Malaysia berada di kedudukan 59 dengan memperoleh markah 27.51 dengan mencatatkan purata minggu bekerja 40.8 jam dan gaji minimum USD1.07, kira-kira RM5.04 sejam.
“Pekerja di Mexico, Malaysia, dan Nigeria adalah yang paling banyak bekerja, dengan purata lebih daripada 40 jam seminggu setiap orang termasuk pekerja sepenuh masa dan sambilan,” katanya.
Dalam pada itu, New Zealand menduduki tangga teratas dengan markah 79.35. Selain terkenal dengan pemandangan yang memukau, New Zealand menawarkan kadar gaji minimum kedua tertinggi dalam senarai.
“New Zealand adalah negara dengan keseimbangan hidup-kerja terbaik. Memiliki ekonomi yang kuat, New Zealand menduduki tempat pertama dalam senarai kami dengan mendapat skor tinggi dalam pelbagai metrik, menawarkan cuti tahunan yang besar (32 hari), kadar bayaran sakit yang tinggi (80%), dan sistem penjagaan kesihatan yang dibiayai kerajaan,” katanya.
Sumber: Remote