Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari berkata, sikap rakyat Malaysia seolah-olah segan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan satu situasi yang mengejutkan.
Situasi berkenaan jelasnya menunjukkan penjajahan minda serta tidak krisis ketidakyakinan terhadap bahasa Melayu berbanding dengan mentaliti bangsa negara-negara maju seperti Perancis, China, Jepun, Thailand dan Indonesia yang amat berbangga dengan bahasa kebangsaan sendiri.
“Saya terasa pelik dan terasa agak terkejut … Malaysia ini negara yang paling pelik di dunia, ada bahasa sendiri, tetapi segan digunakan,” katanya.
Sehubungan dengan itu juga katanya, pihak DBP telah merancang pelbagai program dan kegiatan pada masa akan datang bagi memantap dan memperkasakan lagi budaya penggunaan bahasa kebangsaan.
Tambahnya lagi, dengan keprihatinan Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah Belanjawan 2025 akan digunakan sebaik mungkin bagi tujuan berkaitan.
“Jati diri bangsa terletak pada ukur tara bahasa, bangsa dan kesenian, jadi majunya bangsa itu bukan setekat sains dan teknologi tetapi juga dari sudut pemikiran dan budaya.
“Maka bahasa yang kita laksanakan iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perlu kita angkat, martabat dan perkasakan, dan peruntukan inilah yang kita guna sepenuhnya,” katanya lagi.
Dalam pada itu Hazami berkata, tiada salahnya Bahasa Melayu dikembangkan dengan pelbagai sumber, kerana bahasa yang tidak berkembang dan tidak menerima perubahan, mungkin pada akhirnya ia akan mati begitu sahaja.
Jelas beliau lagi, tidak ada cacat cela bila ditambah kosa kata dengan pelbagai sumber ada, baik daripada bahasa asing, bahasa serantau atau bahasa baharu yang dicipta.
Sumber: Astro Awani








