Malaysia menyasarkan untuk merealisasikan impian menjadi tuan rumah Piala Dunia pada masa hadapan, selain berharap skuad Harimau Malaya mampu melangkah lebih jauh sehingga layak beraksi di pentas bola sepak terbesar dunia itu.
Hasrat itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu Malaysia bukan sekadar menjadi lokasi penganjuran kejohanan berprestij tersebut, malah turut melihat pasukan negara beraksi sebagai wakil Asia Tenggara.
“Insya-Allah, satu hari nanti kita bercita-cita untuk menjadikan Malaysia tuan rumah Piala Dunia.
“Mudah-mudahan ketika itu pasukan Malaysia akan menjadi salah satu pasukan untuk mewakili Asia Tenggara,” katanya.
Baca juga:
- ‘Perbuatan vandalisme rumah ibadat di Bukit Tinggi tidak boleh diterima – Young Syefura
- Veteran DAP persoal tindakan tutup kilang kerana bendera terbalik
- UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pesta Menonton Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 dan Semarak Subuh di Bangi Square 2, awal pagi tadi.
Lebih 7,000 pengunjung hadir memeriahkan program berkenaan yang menghimpunkan peminat bola sepak daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi menyaksikan aksi final antara Argentina dan Sepanyol menerusi tayangan skrin besar.
Menurut Ahmad Zahid, kehadiran ribuan penyokong bola sepak pada program itu menggambarkan minat serta sokongan rakyat Malaysia terhadap sukan tersebut.
Aksi final Piala Dunia 2026 menyaksikan Sepanyol muncul juara dunia selepas menewaskan juara bertahan Argentina.
Sumber: Bernama, Utusan








