'Malaysia akan capai kejayaan lebih cemerlang di bawah Kepimpinan Sultan Ibrahim dan Anwar' - Xi Jinping | The Reporter

‘Malaysia akan capai kejayaan lebih cemerlang di bawah Kepimpinan Sultan Ibrahim dan Anwar’ – Xi Jinping

Xi Jinping
Xi menegaskan bahawa hubungan erat ini memberi manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara. Sumber Gambar: FB Anwar Ibrahim

Presiden China, Xi Jinping, menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia akan mencapai kejayaan yang lebih gemilang di bawah kepimpinan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Xi, Malaysia telah mencatat kemajuan besar dalam pembangunan dan pemodenan negara sejak lawatan terakhir beliau ke Malaysia pada tahun 2013.

“Semasa lawatan saya pada 2013, saya amat terpesona dengan keindahan alam semula jadi Malaysia, kepelbagaian budaya dan kebaikan hati rakyatnya,” katanya.

Hubungan diplomatik Malaysia-China kukuh dan terus berkembang

Xi Jinping turut menekankan bahawa hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang telah terjalin selama 50 tahun adalah kukuh dan akan terus diperkukuh.

“Hubungan ini dibina kukuh seperti batu dan akan terus menjadi lebih teguh,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua negara telah menunjukkan saling menghormati dan mempercayai dari segi politik, kerjasama saling menguntungkan dari segi ekonomi, serta pertukaran budaya yang memperkayakan antara satu sama lain.

Xi turut menegaskan bahawa hubungan erat ini memberi manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara.

Visi masa depan bersama Malaysia-China

Presiden China itu turut menyentuh pencapaian penting pada tahun 2023 apabila Malaysia dan China bersetuju membentuk komuniti berkongsi masa depan bersama, melakar lembaran baharu dalam sejarah hubungan dua hala.

Lawatan negara beliau selama tiga hari ke Malaysia bermula semalam atas undangan rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menjadikan ini lawatan rasmi kedua beliau ke Malaysia selepas kunjungan pada 2013 yang menyaksikan hubungan diplomatik dipertingkat kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Sumber: Sinar Harian, Live FB Anwar Ibrahim

Related Posts