Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau berasa terkilan sekiranya ada dalam kalangan pelajar B40 yang cemerlang membuat keputusan menolak tawaran dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) ekoran dari kemiskinan.
Jelasnya, pelajar yang mempunyai potensi perlu diberikan perhatian.
“Saya ini paling ralat kalau anak-anak B40 menolak tawaran ke SBP kerana belenggu kemiskinan keluarga. Sedangkan polisi kita jelas, anak-anak B40 yang ada potensi inilah harus kita beri peluang dan beri keutamaan,” katanya.
Dalam hantaran di Facebook, beliau berkongsikan seorang pelajar yang telah menolak tawaran dari SBP kerana kekangan kewangan keluarga. Situasi tersebut membuatkan beliau cuba memujuk ibu bapa pelajar berkenaan terlebih dahulu sebelum memujuk pelajar berkenaan.
“Anak yang cerdik dan baik ini mendapat beberapa tawaran sekolah yang baik termasuk SBP. Tetapi menolak kerana kekangan kewangan keluarga.
“Mula-mula ibu bapanya perlu dipujuk dengan memberi keyakinan bahawa isu perbelanjaan dan bantuan tidak perlu dibimbangkan. Semua bantuan persekolahan boleh diuruskan. Selesai pujuk mak ayah. Berkumpullah kami secara jemaah di PPD, masuk Google meet untuk sesi pujuk memujuk,” kongsinya.
Walaupun memujuk pelajar berkenaan agak sukar, namun beliau terharu dan memuji sikap pelajar berkenaan yang meminta ruang masa dan perbincangan.
“Memujuk anak jauh lebih susah. Dia menangis. Saya pun menangis. Dia terharu. Saya yang pilu.Kebimbangannya jelas. Tidak mahu menyusahkan ibu bapanya. Nampak sangat berat beban mahu meninggalkan keluarga. Walaupun beban kewangan bukan lagi isu setelah saya memberikan jaminan, anggap sahaja selesai kerana saya ada.
“Anak ini cerdik. Musyawarah bersama keluarga adalah keutamaannya. Dengan sopan, dia meminta masa dan ruang perbincangan. Saya sebut kepadanya, apa pun pilihannya, saya akan sokong tetapi yang penting mesti terus belajar,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan, sokongan dan usaha yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bukan hanya di peringkat sekolah bagi memastikan tiada keciciran dalam pembelajaran.
“Kita doakan yang terbaik. Soalnya bukan tempat belajar, tetapi kemahuan untuk terus belajar. Tidak mengapa anaknda. Ambillah masa mengikut keselesaan anaknda. Makcik setia menunggu jawapan anaknda,” tambahnya.








