Kekejaman berterusan yang dilakukan oleh puak Zionis dikecam seantero dunia. Lantaran itu, pelbagai inisiatif dilakukan oleh masyarakat dunia bagi menggambarkan kemarahan terhadap kekejaman itu.
Selain mengadakan pertunjukan jalanan, masyarakat dunia juga turut memboikot produk yang menyokong kepada kekejaman ini.
McDonald’s antaranya merupakan produk makanan segera yang secara lantang menyokong pihak Israel serta mengedarkan makanan mereka buat tentera dan penduduk di sana.
Di Malaysia, kesan yang sama jelas kelihatan apabila masyarakat di sini turut sama memboikot restoran makanan segera itu. Mana-mana cawangan McDonald’s sudah tidak dikunjungi ramai malahan ada cawangan yang langsung tidak dikunjungi pelanggan.
Situasi tersebut juga dikatakan telah memberikan kesan kepada pekerja-pekerja di McDonald’s dan juga penghantar makanan.
Menerusi satu video tular, pekerja-pekerja di restoran makanan segera berkenaan meluahkan rasa sedih dengan situasi yang berlaku.
“Lebih daripada 90% adalah anak-anak bumiputera. Kasihan pada pekerja-pekerja OKU. Kadang-kadang kena tengok dulu, siapa, kenapa dan mengapa sebab majoriti yang bekerja adalah orang Islam.
“Diorang buat macam ni,kami terkesan jugak. Ada yang terpaksa cuti 2,3 hari memang terkesan untuk diorang, diorang juga perlukan duit untuk survive,” kata mereka.
Dipandang serong kerana pakai seragam Mekdi
Salah seorang pekerja di situ turut terkejut apabila berkongsikan pengalaman anaknya yang dikecam oleh rakannya kerana statusnya sebagai pekerja McDonald’s.
“Anak saya berusia 8 tahun dia cakap dengan saya,’mak kawan saya cakap burger mak haram dan bila saya beli barang kat luar pakai baju McDonald’s dan orang tengok saya ni macam penjahat,” kongsinya.
Dicatatkan lebih 18,000 pekerja McDonald’s terkesan dan ribuan pelajar SLDN terpaksa diberhentikan pembelajaran.
Menerusi video tersebut juga, mereka meminta kepada rakyat Malaysia supaya mempertimbangkan dahulu impak kehidupan pekerja-pekerja disitu.
Namun begitu, menerusi komen ramai yang menyarankan agar mencari pekerja lain yang bersesuaian. Ada juga yang memberikan contoh salah seorang pekerja McDonald’s mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memutuskan untuk berniaga nasi lemak. Walau sukar, namun bekas pekerja McDonald’s itu menganggap rezeki di bumi Allah itu luas.
Sumber: Shahrul Nizam