Majoriti penduduk Kampung Sungai Baru setuju pembangunan semula, ada pampasan cecah RM3.8 juta | The Reporter

Majoriti penduduk Kampung Sungai Baru setuju pembangunan semula, ada pampasan cecah RM3.8 juta

Imej udara menunjukkan kerja perobohan blok flat lama di Kampung Sungai Baru, dengan jentera berat meruntuhkan bangunan dan timbunan konkrit memenuhi kawasan.
Kerja perobohan flat lama di Kampung Sungai Baru giat dijalankan sebagai sebahagian pembangunan semula dengan pampasan jutaan ringgit kepada penduduk. | Kredit gambar: Malaysia Now

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Di media sosial, isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru sering digambarkan sebagai penindasan. Video operasi pengosongan, jeritan protes dan wajah kecewa yang tular membentuk persepsi kononnya penduduk dipaksa meninggalkan tanah mereka tanpa pembelaan.

Namun realiti di lapangan memperlihatkan cerita berbeza. Majoriti pemilik hartanah menegaskan, projek ini lahir daripada keputusan mereka sendiri dan bukannya paksaan luar.

“Orang ramai mudah percaya naratif separuh benar, padahal kami sendiri yang memilih jalan pembangunan ini,” kata Sanita Yunus, Pengerusi Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru.

Bermula dengan keperluan, bukan arahan

Persoalannya, bagaimana semua ini bermula? Sekitar 2016, keadaan rumah yang semakin uzur dan tempoh pajakan tanah yang makin singkat mendorong penduduk menubuhkan persatuan. Mereka sedar kos membaiki sendiri terlalu tinggi, lalu bersepakat mencari pemaju yang boleh membangunkan semula kampung tersebut.

Menurut Sanita, inisiatif itu jelas membuktikan pembangunan ini bukan dipaksakan.

“Generasi terdahulu yang membuat keputusan. Mereka mahu kediaman lebih selesa dan terjamin,” jelasnya.

Baca juga:

Pampasan tinggi, kebajikan dijaga

Daripada persoalan asal, timbul pula isu pampasan yang sering dipertikaikan orang luar. Sanita mendedahkan pemaju menawarkan nilai hampir dua kali ganda lebih tinggi daripada penilaian kerajaan dengan ada unit rumah teres yang mencecah RM1 juta hingga RM3.8 juta.

Selain pampasan, pemilik rumah teres juga menerima sewa bulanan RM2,500 selama lapan tahun, manakala penghuni flat transit hanya menanggung utiliti asas kerana sewa ditanggung pemaju.

“Penduduk tetap dijaga sepanjang menunggu projek siap. Ini bukan keadaan di mana mereka diabaikan,” katanya.

Kenapa masih ada bantahan?

Walaupun kebanyakan penduduk bersetuju, bantahan tetap wujud dan ianya datang daripada segelintir kecil pemilik flat yang berdepan isu pembahagian faraid.

“Apabila bahagian kecil, wujud rasa tidak puas hati. Tetapi itu adalah masalah keluarga, bukan kelemahan projek,” katanya.

Bagi mereka yang tidak bersetuju, kes dibawa ke mahkamah. Bagi Sanita, langkah itu sendiri membuktikan proses ini telus dan hak penduduk tetap terpelihara.

Politik dan persepsi luar

Selain isu dalaman, projek ini turut berdepan cabaran politik sejak beberapa tahun lalu apabila bertukar tangan beberapa Menteri Wilayah. Namun akhirnya, keputusan mahkamah berpihak kepada pembangunan. Menteri Wilayah ketika ini, Dr Zaliha Mustafa, turut menyokong agar semua proses berjalan mengikut peraturan. Walau begitu, persepsi masyarakat luar masih menjadi beban utama.

“Yang datang buat kecoh ketika operasi pengosongan, ramai bukan penduduk sini. Kami semua saling kenal di kampung ini,” dakwa Sanita.

Harapan penduduk

Kini, lebih 220 keluarga telah menandatangani perjanjian dan menunggu masa untuk kembali mendiami Kampung Sungai Baru selepas projek siap.

“Kami mahu rumah moden dan selesa, tapi tetap di tanah sendiri. Ini bukan isu politik atau kaum, tetapi soal kelangsungan hidup masyarakat Melayu bandar,” ujar Sanita sambil menyeru orang ramai agar tidak mudah termakan provokasi.

Sumber: Malaysia Gazette

Related Posts