Majlis Ulama Rohingya (MUR) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial yang mendakwa komuniti Rohingya menuntut hak kewarganegaraan Malaysia serta menganggap tuduhan tersebut sebagai fitnah yang telah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Memetik laporan Malaysia Kini, Pengerusi MUR, Rahimullah Muhammad Hussain berkata, kenyataan asal yang dibuat sebelum ini telah disunting dengan menukar frasa ‘menuntut hak kewarganegaraan Myanmar’ kepada ‘menuntut hak kewarganegaraan Malaysia’, sekali gus menimbulkan salah faham dan sentimen kebencian terhadap masyarakat Rohingya di negara ini.
Menurut MUR, perjuangan sebenar masyarakat Rohingya adalah untuk mendapatkan semula hak kewarganegaraan daripada kerajaan Myanmar, yang disifatkan sebagai tanah air asal mereka. Mereka menegaskan tidak pernah menuntut mana-mana kawasan atau sebarang hak kewarganegaraan di Malaysia.
MUR turut menjelaskan bahawa kehadiran masyarakat Rohingya di Malaysia hanyalah bagi mendapatkan perlindungan keselamatan sementara selain menjalani kehidupan secara aman dengan mematuhi undang-undang dan peraturan negara. Mereka juga menyatakan kesediaan untuk kembali ke Myanmar sekiranya wujud jaminan keselamatan, keamanan serta pengiktirafan hak kewarganegaraan.
“Kehadiran kami di negara ini hanyalah untuk mendapatkan perlindungan keselamatan sementara serta menjalani kehidupan aman damai, dengan mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan di Malaysia.
“Kami juga bersedia untuk kembali ke Myanmar apabila wujud jaminan keselamatan, keamanan serta pengiktirafan terhadap hak-hak kewarganegaraan kepada kami,” katanya.
Baca juga:
- Majlis Ulama Rohingya nafi tuntut kewarganegaraan Malaysia
- Pengasas HYGR dakwa video disunting, nafi gambarkan Malaysia negara ketinggalan
- Misteri kehilangan tujuh tahun terungkai, wanita ditemukan selamat di Langkawi
Pada masa sama, pertubuhan itu merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat negara ini yang telah banyak membantu komuniti Rohingya sejak sekian lama. Mereka turut berterima kasih kepada pihak yang memberikan peluang pendidikan agama kepada anak-anak Rohingya bagi membentuk akhlak dan masa depan yang lebih baik.
MUR juga mengakui terdapat segelintir individu dalam komuniti Rohingya yang melakukan perkara yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia dan memohon maaf atas kelemahan tersebut. Mereka berjanji untuk terus memperbaiki keadaan demi mewujudkan hubungan yang lebih harmoni dengan masyarakat tempatan.
Mengulas dakwaan bahawa Pasar Borong Selayang dikuasai masyarakat Rohingya, MUR menegaskan tuduhan itu tidak berasas. Mereka menjelaskan bahawa pasar berkenaan melibatkan pekerja daripada pelbagai etnik Myanmar dan bukannya didominasi oleh masyarakat Rohingya semata-mata.
“Pasar Borong Selayang bukan dikuasai masyarakat Rohingya dan sebaliknya, bangsa lain daripada Myanmar yang terdiri daripada berbilang kaum. Kami menyeru semua pihak supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat dan hanya merujuk kepada sumber yang sahih sebelum menyebarkannya,” jelasnya.
Selain itu, MUR menegaskan bahawa sebarang kesalahan jenayah atau pelanggaran undang-undang yang dilakukan individu tertentu tidak seharusnya dikaitkan dengan keseluruhan komuniti Rohingya. Menurut mereka, individu terbabit perlu dipertanggungjawabkan secara peribadi mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam kenyataan sama, MUR turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap akaun media sosial atau individu yang mendakwa mewakili masyarakat Rohingya kerana terdapat banyak akaun palsu yang menyebarkan maklumat tidak sahih.
Sehubungan itu, MUR menyeru semua pihak agar merujuk kepada sumber yang sahih sebelum menyebarkan sesuatu maklumat serta mengelakkan penyebaran berita palsu, fitnah dan ucapan kebencian yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat di Malaysia.









