Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-90 yang dijadual berlangsung Sabtu ini, dibatalkan. Sambutan berkenaan akan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pembatalan sambutan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Kehormat TLDM.
“Keputusan ini dibuat atas perkenan Sultan Selangor. Difahamkan, baginda pun akan mencemar duli bagi majlis berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pengurusan jenazah nahas itu akan dibuat mengikut perancangan keluarga masing-masing dan dibantu Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM.
Beliau berkata, kementerian juga akan membantu membawa pulang jenazah yang berasal dari Sabah, selepas semua urusan berkaitan selesai.
Keseluruhan jenazah nahas ini akan dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh di Perak bagi urusan bedah siasat.
“Setakat ini, keluarga mangsa yang menetap di Kota Kinabalu, Sabah sudah dibawa ke sini dan mereka akan terus ke Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya.
Mohamad Khaled juga menyatakan pihak kementerian, ATM dan TLDM juga akan menyalurkan manfaat dan faedah sewajarnya kepada balu dan waris mangsa.
Sumber: Harian Metro








