Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bertindak menanggalkan pintu rumah tiga penyewa di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi (PPR Paroi), Negeri Sembilan kerana gagal membayar tunggakan sewa melebihi RM15,000.
Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali menjelaskan bahawa pihak MBS telah memberi peluang kepada penyewa untuk menjelaskan bayaran, termasuk melalui perjanjian pembayaran ansuran sejak Januari tahun lalu.
Namun, penyewa masih gagal mematuhi perjanjian tersebut, walaupun notis penamatan telah dikeluarkan pada 30 November.
“Penyewa masih gagal mematuhi perjanjian itu sehingga MBS mengeluarkan Notis Penamatan Perjanjian melalui surat bertarikh 30 November lalu.
“Susulan itu, MBS mengambil tindakan menanggalkan pintu di tiga rumah terbabit supaya mereka segera menjelaskan tunggakan.
“Bagaimanapun, MBS masih membenarkan penyewa yang mempunyai tunggakan sewa untuk tinggal di rumah berkenaan buat sementara waktu,” katanya.
Tindakan menanggalkan pintu ini diambil sebagai langkah mendesak penyewa menjelaskan tunggakan. Walaupun begitu, penyewa masih dibenarkan tinggal di rumah tersebut buat sementara waktu.
Masri menegaskan operasi ini akan diteruskan secara berkala, dan penyewa di PPR Paroi serta PPRT Lobak diminta membayar sewa mengikut masa yang ditetapkan.








