Satu hantaran tular mendakwa sebuah pusat perlindungan kucing di Klang, Selangor berada dalam keadaan tidak terurus dan terjaga.
Susulan itu, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam satu kenyataan menafikan sebarang bentuk penindasan, pengabaian dan penganiayaan di Taman Kucing Klang seperti tular di media sosial sejak semalam.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Klang,Tpr Datin Paduka Noraini Roslan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan. Selepas mengadakan tinjauan, beliau berpuas hati dengan tahap kebersihan dan keselesaan di pusat jagaan berkenaan.
Katanya, beberapa penambahbaikan akan dilakukan segera oleh Majlis dan akan dibantu Sime Darby dalam masa terdekat bagi keselesaan kucing-kucing yang ada berhubung isu keadaan panas di waktu petang.
“Saya menghargai keprihatinan orang awam dalam isu ini namun beberapa perkara yang ditularkan adalah tidak benar sama sekali terutama kucing-kucing yang didakwa lapar dan terbiar.
“Malahan dakwaan kematian kucing dalam jumlah yang banyak juga tidak benar dan hanya seekor sahaja yang mati sejak pengoperasian (diletakkan di luar taman oleh individu tidak dikenali) selepas saya sendiri mengadakan tinjauan bersama Sime Darby pagi tadi,” katanya.
Menurutnya lagi, kucing bersifat ‘territorial’ di mana ia memerlukan kawasan yang luas untuk melakukan pelbagai perkara tanpa sebarang sekatan. Oleh yang demikian, kucing-kucing akan dilepaskan dari kandang untuk bergerak di sekitar kawasan taman pada waktu pagi.
Selain itu juga, pihaknya juga akan mengadakan kerjasama dengan sukarelawan-sukarelawan yang berminat dengan penjagaan kucing.
“Kita merancang untuk mengadakan kerjasama dengan sukarelawan-sukarelawan yang berminat dalam penjagaan kucing memandangkan sokongan masyarakat terhadap Taman Kucing ini begitu positif dan membanggakan,” katanya.