Sepuluh rakyat Malaysia yang terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita berusia 21 hingga 37 tahun telah dikenakan denda oleh polis Thailand kerana memandu secara berbahaya di Hat Yai, Jumaat lalu.
Menurut Ketua Polis Kohong Hat Yai, Kol. Pol. Apichat Wannako, kejadian berlaku sekitar jam 1.30 pagi berhampiran Bazaar Greenway selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk tempatan yang bimbang akan keselamatan jalan raya.
Kol. Pol. Apichat berkata, siasatan mendapati enam kereta berdaftar di Malaysia yang telah diubah suai digunakan untuk aktiviti lumba haram. Rakaman CCTV membantu pihak polis mengesan dan menjejaki kenderaan terlibat.
Kesemua suspek mengaku bersalah dan telah membayar denda sebanyak 5,000 Baht setiap seorang sebelum dibebaskan pada Ahad.
Kol. Apichat turut mengingatkan para pelancong supaya mematuhi undang-undang negara tersebut bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Sumber: Sinar Harian








