Luahan Najib Razak 3 tahun disebalik tirai besi | The Reporter

Luahan Najib Razak 3 tahun disebalik tirai besi

Luahan Najib Razak menjadi perhatian ramai.
Gambar: Facebook Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluahkan perasaannya selepas tiga tahun menjalani hukuman di sebalik tirai besi, menerusi rangkaian bait kata yang penuh emosi dan menyentuh hati.

Dalam perkongsian tersebut, Najib menggambarkan suasana subuh dari ruang kurungannya yang sunyi, hanya ditemani azan yang kedengaran sayup di kejauhan. Beliau menulis tentang keadaan hidupnya kini yang beralaskan lantai simen, bersejadahkan tikar, namun tetap mencari ketenangan melalui sujud dan doa.

“Sayu, merdu dan indah sekali. Sayup kedengaran dari liang di dinding kurungan. Dingin, berlantaikan simen. Tikar sejadah menjadi teman. Sujud dan doa menenangkan hati, menjadi tempat luahan, menjadi tempat mengadu,” tulis Najib.

Baca juga:

Beliau turut menyifatkan perjalanan hidupnya kini penuh dengan ujian, luka dan parut yang hanya Allah mengetahui. Dalam luahan itu, Najib menegaskan bahawa pencarian keadilan untuk dirinya masih diteruskan walaupun pelbagai halangan dan dugaan menimpa.

“Pahit di mulut, mencari keadilan untuk diri. Halangan, kezaliman, rancangan mereka bertubi-tubi. Luka dan parut di hati, hanya Allah yang tahu, hanya Allah yang mengerti,” katanya lagi.

Menurut Najib, meskipun tiga tahun telah berlalu sejak beliau dipenjarakan, semangat dan kekuatan yang dimilikinya datang daripada doa keluarga, sahabat serta penyokong yang tidak pernah putus mendoakan kesejahteraannya.

“Doa keluarga, doa saudara saudari semua, memberi harapan, menjadi sumber kekuatan.

“Tikar sejadah menjadi teman. Saat itu pasti tiba. Bila…” katanya.

Menerusi ruangan komen, ramai yang menitipkan kata-kata semangat dan doa agar beliau terus tabah serta kuat menghadapi dugaan kehidupan.

Related Posts