Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, menyindir cadangan PAS agar Malaysia Airlines (MAS) menghentikan hidangan alkohol dalam penerbangan dengan menyarankan parti itu menubuhkan syarikat penerbangan sendiri.
Ketika berucap dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam, beliau menyifatkan desakan tersebut sebagai tidak demokratik dan menegaskan bahawa hak menikmati minuman beralkohol adalah kebebasan individu bukan Islam.
“Syarikat penerbangan dari negara-negara Islam seperti Emirates, Etihad dan Gulf Air pun hidangkan arak.
“Kepada PAS, jika begitu tak suka, saya cadangkan tubuhkan syarikat sendiri, panggil PAS Airlines. Nantikan berapa lama PAS Airlines boleh tahan sebelum bankrap,” katanya.
Baca juga:
- MBI nafi dakwaan tulisan bahasa Cina dipasang bersama mercu tanda ‘IPOH’
- Fahmi sifatkan tindakan lapan Ahli Kongres AS biadap
- Semua masjid, surau di Terengganu diarah adakan solat hajat khas untuk Sultan Mizan
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada gesaan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun, minggu lalu yang mengulangi pendirian PAS supaya MAS menghentikan hidangan alkohol kerana dikatakan menimbulkan dilema kepada kru dan penumpang Muslim.
Isu hidangan alkohol dalam penerbangan pernah menjadi perbahasan hangat sebelum ini apabila PAS beberapa kali menuntut dasar itu dikaji semula atas alasan menghormati sensitiviti umat Islam.
Sumber: MalaysiaKini








