Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan belum ada kertas dasar yang dibawa ke Kabinet untuk tujuan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95.
Beliau menjangkakan, penyasaran semula subsidi bagi RON95 tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menurut Anwar, terdapat kajian yang telah dilakukan sebelum ini. Namun, beliau berpendapat lebih baik melihat langkah-langkah penyasaran yang telah diambil ke atas elektrik, ayam dan diesel terlebih dahulu.
“Lihat dahulu kesannya dan bagaimana reaksi rakyat. Barulah kita sedia berunding apakah (ada) keperluannya,” katanya menjawab soalan tambahan daripada wakil PN-Pasir Mas yang ingin mengetahui apakah kerajaan berhasrat untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95, di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar bagaimanapun pada hematnya berpendapat penyasaran semula subsidi RON95 sepatutnya telah dilaksanakan sejak dulu lagi. Tetapi beliau sedar terdapat pelbagai cabaran yang menyukarkan pelaksanaan tersebut.
Salah satu masalah yang dihadapi adalah penggunaan minyak oleh 3.8 juta orang asing dan juga golongan orang kaya. Kaedah terbaik perlu difikirkan dengan teliti untuk melaksanakan penyasaran subsidi agar tidak membebankan rakyat.
“Masalah kita hadapi adalah 3.8 juta orang asing guna minyak ini. Begitu juga orang kaya. Ini yang mesti dan amat penting untuk kita hentikan.
“Mereka telah menggunakan subsidi sejak berpuluh tahun lalu. Justeru, bagaimana kaedah (terbaik bagi pelaksanaannya) kita perlu fikir, supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.
Sumber: Harian Metro (Latifah Arifin)