Siasatan JKKP: Keletihan mekanikal akibat tekanan berulang
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini mendedahkan kejadian letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu berpunca daripada kegagalan pada bahagian sambungan kimpalan yang mengalami keletihan mekanikal (mechanical fatigue).
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, siasatan teknikal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati paip gas tersebut patah setelah sambungan kimpalan mengalami tekanan berulang atau cyclic loading akibat kehilangan sokongan tanah dan pergerakan dalam tanah.
Baca juga:
- Langgar lari polis trafik: Inspektor ditahan, sedang jalani rawatan kesihatan
- Pelajar Tingkatan Satu maut dirempuh kereta depan surau sekolah
- Tiga ditahan kes serangan wanita ketika live dalam kereta
“Analisis mendapati paip gas ini patah setelah bahagian sambungan kimpalan mengalami mechanical fatigue. Keadaan ini turut dipengaruhi pengumpulan air setempat dalam tempoh lama yang menyebabkan kehilangan sokongan tanah,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi di Dewan Rakyat.
Beliau turut memaklumkan perubahan fizikal serta aktiviti antropogenik di kawasan kejadian yang mengubah bentuk muka bumi asal turut menyumbang kepada ketidakstabilan tanah.
Sistem paip masih selamat, langkah pemantauan diperketat
Menurut Abdul Rahman, sistem paip gas milik Petronas masih dalam keadaan selamat dan menepati piawaian antarabangsa. Namun, kerajaan telah mengarahkan beberapa langkah penambahbaikan, termasuk pemasangan sistem pemantauan masa nyata dan penggunaan teknologi pengesanan terkini.
Tambah beliau, JKKP turut melaksanakan langkah kawalan tambahan seperti penilaian geoteknikal, rondaan lebih kerap di kawasan berisiko tinggi serta kempen kesedaran kepada masyarakat.
Siasatan insiden itu turut melibatkan beberapa agensi teknikal termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumber: Berita RTM











