Lelaki ugut bakar isteri, syak bawa masuk lelaki asing beraya di rumah semasa ketiadaannya | The Reporter

Lelaki ugut bakar isteri, syak bawa masuk lelaki asing beraya di rumah semasa ketiadaannya

Gambar hiasan (A.I)

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki berusia 42 tahun telah ditahan kerana disyaki melakukan keganasan rumah tangga terhadap isterinya yang berusia 36 tahun dalam kejadian yang berlaku di Kampung Baru Alai, Sabtu lalu.

Menurut laporan Sinar Harian, lelaki tersebut telah mengikat dan mencederakan isterinya kerana cemburu dan mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Ekoran dari kejadian itu, mangsa seorang guru mengalami lebam di pergelangan tangan dan kaki, serta luka di dada akibat cecair lilin.

Difahamkan semasa kejadian berlaku, mangsa sedang tidur di bilik rumahnya sebelum dikejutkan oleh suspek yang meletakkan pisau pada lehernya.

Suspek kemudian mengikat tangan dan kaki mangsa menggunakan tali, serta mengugut akan membunuhnya jika tidak memberi kerjasama.

Suspek dipercayai bertindak demikian kerana mengesyaki isterinya membawa masuk lelaki asing ke rumah untuk beraya semasa ketiadaannya.

Namun mangsa menafikan tuduhan tersebut dan merayu agar dilepaskan. Malangnya suspek enggan mengendahkan rayuannya dan mengugut untuk membakar mangsa dan rumah jika enggan mengaku.

Walau bagaimanapun, mangsa berjaya melepaskan diri dengan memberi alasan perlu ke bilik air dan segera meninggalkan rumah menggunakan kereta.

Dalam keadaan ketakutan, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Kampung Lalang.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Related Posts