Pekerja asing dan gelandangan, Safiudeen Pakkeer Mohamed, yang sebelum ini tular selepas disembur air ketika tidur di kaki lima sebuah bank di ibu negara, bakal pulang ke kampung halamannya di India pada malam ini.
Memetik laporan dari Free Malaysia Today, pengasas pusat perlindungan gelandangan, Tony Lian, memaklumkan bahawa Safiudeen kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan yang diuruskan Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.
Menurut Lian, Jabatan Tenaga Kerja dan polis telah mengambil keterangan Safiudeen, 39, dalam satu sesi temubual panjang selama kira-kira tiga jam pada Isnin.
Baca juga:
- Baru hari pertama sekolah, kanak-kanak Palestin terbunuh bersama bapa
- Anak Takut Jumpa Doktor? KPJ Perkenal Pendekatan Lebih Mesra Untuk Si Kecil Dan Mak Ayah
- Operasi besar-besaran buru anjing liar susulan kanak-kanak diserang
Selepas proses siasatan selesai, Lian membawa Safiudeen ke Suruhanjaya Tinggi India untuk mengaturkan pertemuan bersama majikannya.
“Saya bertemu majikan dan pegawai suruhanjaya. Dalam pertemuan itu, majikan bersetuju menyelesaikan tunggakan gaji Safiudeen secara baik dan turut membelikan tiket penerbangan pulang buatnya,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video yang merakamkan seorang gelandangan disiram air oleh pengawal keselamatan di sebuah bank. Lelaki itu turut ditendang oleh seorang individu di luar premis berkenaan. Insiden tersebut mencetuskan simpati orang ramai, termasuk aktivis Tony Lian atau lebih dikenali sebagai Uncle Tony.










