Lelaki tikam jiran 11 kali, berang bunyi bising enjin motosikal ganggu ketenteraman | The Reporter

Lelaki tikam jiran 11 kali, berang bunyi bising enjin motosikal ganggu ketenteraman

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki bertindak nekad menikam jirannya dalam satu kejadian yang berlaku di Daerah Pringsewu, Indonesia, pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 petang itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan suspek segera membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Gading Rejo, Asisten Superintendan Hasbulloh berkata, kejadian itu berpunca dari tindakan mangsa yang selalu membuat bising dengan menghidupkan enjin motosikalnya secara kerap sehingga mengganggu ketenteraman keluarga suspek.

Suspek, Arfan Gunawan, 27, sebelum ini sudah beberapa kali menegur perbuatan mangsa, Feri Handika, 34, tetapi teguran itu umpama masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

“Suspek mengakui dia terganggu dengan bunyi bising itu dan dalam masa sama anaknya pula sedang sakit. Suspek yang hilang pertimbangan terus pergi menikam mangsa,” katanya.

Suspek mengaku dia menikam mangsa sebanyak 11 kali di dada, tangan dan kaki menggunakan pisau dapur.

Lelaki itu kini direman dan polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana membunuh, Seksyen 351 Ayat 3 melakukan penganiayaan berat sehingga menyebabkan kematian yang membawa kepada hukuman penjara 15 tahun jika sabit kesalahan. – Agensi

Related Posts