Lelaki Singapura kantoi tinggal di Malaysia tanpa dokumen sah, ditahan JIM | The Reporter

Lelaki Singapura kantoi tinggal di Malaysia tanpa dokumen sah, ditahan JIM

Sumber gambar: Facebook Jabatan Imigresen Johor

Seorang lelaki warga Singapura dikesan tinggal di negara ini tanpa dokumen yang sah selama 13 tahun. Perkara tersebut terbongkar apabila satu operasi bersepadu dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati lelaki yang berusia 34 tahun itu tinggal lebih masa sejak tahun 2011 ketika dia berusia 21 tahun.

Dalam operasi yang sama, Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir berkata, mereka turut menahan empat lagi individu yang melanggar peraturan.

“Turut ditahan di lokasi sama, seorang lelaki warga Bangladesh kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.

“Dalam operasi di sekitar Pasir Gudang pula, JIM menahan dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Pakistan kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan- peraturan Imigresen 1963.

Sumber: Harian Metro

Related Posts