Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis Thailand berjaya menahan seorang lelaki rakyat Malaysia dan isterinya yang disyaki terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram.
Susulan penangkapan itu juga, polis Thailand percaya mereka telah membanteras sindiket penipuan utama yang melakukan pengubahan wang haram lebih 5 bilion baht (100 baht = RM13.02) melalui rangkaian transaksi palsu.
Pasangan berkenaan juga dikatakan suspek utama skim pengubahan wang haram berskala besar.
Komander Bahagian Pencegahan Jenayah Ekonomi (ECD) di bawah Biro Siasatan Pusat (CIB), Pol. Mejar Jeneral Puttidej Bunkrapue berkata, lelaki Malaysia berusia 38 tahun itu, yang dikehendaki di bawah waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah, ditahan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao di wilayah Songkhla ketika dia memasuki Thailand pada 16 Dis dan isterinya dari Thailand, yang juga terlibat dalam skim itu, ditangkap di lokasi berbeza pada 18 Dis.
Puttidej berkata kedua-dua suspek mengaku semasa disoal siasat merekrut individu untuk menubuhkan entiti sah terutamanya untuk membuka akaun bank dan akaun ini kemudiannya dijual kepada pelanggan di beberapa negara ASEAN.
Sementara itu, Pol. Kolonel Theeraphas Yungyuen yang mengetuai siasatan berkata, operasi itu adalah rangkaian yang sangat terancang melibatkan warga Thailand dan asing.
Katanya, lebih 50 waran tangkap telah dikeluarkan kepada individu yang terkait dengan kes berkenaan beberapa bulan lepas.
Suspek yang ditahan jelasnya adalah dalang dalam skim yang canggih dimana mereka mengatur proses pengubahan wang haram dengan memindahkan dana melalui pelbagai akaun bank sebelum menukar wang kepada wang kripto USDT.
“Penggunaan aset digital ini merumitkan usaha untuk mengesan dana,” tambahnya.
Theeraphas berkata, tangkapan itu berikutan aduan daripada ramai mangsa yang diperdaya untuk melabur melalui aplikasi mudah alih palsu, termasuk “Nicshare” dan “ComonApps”, yang aplikasi ini secara palsu menjanjikan pulangan tinggi daripada pelaburan pasaran saham.
Sumber: Sinar Harian








