Lelaki OKU & rakan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rompak barang kemas | The Reporter

Lelaki OKU & rakan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rompak barang kemas

Lelaki OKU didakwa rompak barang kemas
Sumber gambar: Harian Metro (Danial Saad)

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan merompak 160 bungkusan barang kemas secara berkumpulan pada 12 Disember lalu.

Tertuduh, Muhammad Zaim Goh Abdullah, 42, dan Mah Cheow Chuen, 43, (OKU kudung tangan kanan) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nurzafirah Mohamed Ali. Mereka didakwa merompak dua guni berisi barang kemas milik seorang lelaki dengan menggunakan sebilah parang.

Kejadian tersebut didakwa berlaku di hadapan kedai Vape Village, Bagan Ajam, kira-kira jam 7.35 petang. Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak membenarkan ikat jamin.

Namun, Muhammad Zaim (tukang besi)merayu agar diberi jaminan kerana perlu menyara isteri serta ibu bapanya yang memerlukan rawatan dialisis. Mah Cheow Chuen pula memohon ihsan kerana mempunyai tanggungan isteri, lima anak, dan seorang ibu.

Hakim kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Januari 2024.

Dalam kes berasingan di Mahkamah Majistret Butterworth, kedua-dua tertuduh turut didakwa atas pertuduhan memiliki harta curi pada 17 Disember lalu di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Sumber: Harian Metro

Related Posts