Seorang lelaki berusia 39 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas dua pertuduhan merogol anak tirinya yang berusia 15 tahun dalam dua kejadian berasingan di sebuah rumah di Marang, Terengganu.
Pertuduhan pertama melibatkan kejadian pada 16 Jun lalu sekitar jam 3.30 petang, manakala pertuduhan kedua melibatkan kejadian dua hari selepas itu, pada 18 Jun sekitar jam 5.30 petang di lokasi yang sama. Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta maksimum 10 sebatan.
Baca juga:
- Guna aplikasi navigasi, lima warga China cedera kereta terjunam ke gaung di Machang
- Dari LRT2 ke LRT3, legasi seorang bapa diteruskan anak
- Isu tular laluan pejalan kaki LRT3: MBSA tampil beri penjelasan
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan atas alasan mempunyai banyak tanggungan.
Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM18,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, menjadikan jumlah keseluruhan RM36,000. Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi sehingga perbicaraan selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Ogos depan.
Sumber: Harian Metro








