Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Ketagihan luar biasa terhadap Pepsi menyebabkan seorang lelaki dari Bangor, Wales, minum sehingga 30 tin setiap hari selama dua dekad.
Andy Currie, yang bekerja syif malam, bergantung kepada minuman bergas itu untuk terus bertenaga, tanpa menyedari kesan buruknya terhadap tubuh dan kewangan.
Andy memulakan harinya dengan satu liter Pepsi dan terus menambah sembilan liter lagi sepanjang hari. Ketagihan ini menyebabkan beliau membelanjakan sekitar RM115 sehari, bersamaan lebih RM38,000 setahun.
“Ia sudah jadi kebiasaan. Saya beli Pepsi selepas tamat syif kerja dan minum sepanjang hari. Saya tidak fikir banyak kerana saya suka rasa manis itu,” katanya.
Namun, ketagihannya membawa risiko kesihatan yang serius. Berat badan Andy meningkat sehingga 120 kilogram, dan beliau hampir menghidap diabetes.
Bantuan hipnosis mengubah hidup
Selepas bergelut untuk mengurangkan pengambilan Pepsi, Andy akhirnya mendapatkan bantuan daripada pakar hipnotis, David Kilmurry. Sesi hipnosis selama 40 minit itu memberi kesan segera kepada Andy, yang tiba-tiba kehilangan keinginan terhadap minuman tersebut.
“Selepas sesi itu, saya tidak mahu minum Pepsi lagi. Sekarang, saya lebih suka minum air kosong. Isteri saya kata saya kelihatan lebih sihat, dan tenaga saya bertambah,” ujarnya.
David menyifatkan kes Andy sebagai salah satu ketagihan gula yang paling teruk pernah dilihat.
“Andy sangat bergantung kepada Pepsi. Ia seperti racun bagi tubuhnya. Kini, saya gembira melihat perubahan positif dalam hidupnya,” kata David.
Dengan gaya hidup yang lebih sihat, Andy kini bebas daripada ketagihan yang telah menguasai hidupnya selama 20 tahun. – Agensi