Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Idea untuk membina terowong bawah laut yang menghubungkan Amerika Syarikat dan United Kingdom kini sedang hangat diperkatakan. Sekiranya projek ini menjadi kenyataan, perjalanan dari New York ke London hanya akan mengambil masa 54 minit.
Terowong ini dikenali sebagai Transatlantic Tunnel akan merentasi Lautan Atlantik sepanjang 3,400 batu (kira-kira 5,471 kilometer). Kos pembinaannya dianggarkan mencecah $19.8 trilion (RM92 trilion).
Sebagai perbandingan, Terowong Saluran yang menghubungkan England dan Perancis hanya sepanjang 37.9 kilometer dan mengambil masa enam tahun untuk disiapkan. Terowong Transatlantik ini jauh lebih panjang dan memerlukan masa berdekad untuk dibina.
Terdapat dua cadangan untuk pembinaan terowong ini. Sama ada dibina di bawah dasar laut seperti Terowong Saluran, atau digantung di atas permukaan laut menggunakan kabel khas.
Dalam terowong ini, kereta api bakal menggunakan teknologi vakum untuk mencapai kelajuan lebih 4,800 kilometer sejam. Perjalanan ini memerlukan tempoh perlahan selama 18 minit untuk memastikan ketibaan yang selamat.
Walaupun projek ini kedengaran menarik, kos pembinaannya yang sangat tinggi menjadi penghalang. Ramai yang berpendapat tiket untuk menggunakan terowong ini mungkin terlalu mahal.
Seorang pengguna Reddit berkata, “Kos tiket mungkin terlalu tinggi. Malah, kos penyelenggaraan tahunan pun lebih mahal daripada penjimatan yang diperoleh.”
Sehingga kini, kerajaan AS dan UK belum ada rancangan untuk membiayai projek ini. Namun, idea ini terus mencetuskan perbincangan tentang masa depan pengangkutan. – Agensi