Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki di Rusia dilaporkan meninggal dunia akibat pendarahan selepas dicakar oleh kucing peliharaannya.
Dmitry Ukhin, 55, yang menghidap diabetes dan masalah pembekuan darah, meninggal dunia di rumahnya di daerah Kirishi, Leningrad. Kejadian berlaku pada 22 November lalu ketika beliau membawa pulang kucingnya yang telah hilang selama dua hari.
Menurut laporan, Dmitry mengalami luka cakar di bahagian kaki selepas menemui kucingnya di jalanan dan membawanya pulang. Namun, kecederaan tersebut menyebabkan pendarahan serius yang tidak dapat dihentikan sehingga meragut nyawanya.
Semasa kejadian, isteri Dmitry tiada di rumah. Beliau sempat menghubungi jiran dan melaporkan keadaannya yang cedera parah sebelum menghubungi talian kecemasan untk meminta bantuan.
“Pada sekitar jam 11 malam, seorang lelaki menghubungi talian kecemasan memaklumkan rakannya mengalami pendarahan teruk akibat urat kakinya koyak. Pasukan perubatan yang tiba tidak sempat memberikan bantuan dan hanya mampu mengesahkan kematiannya,” kata sumber polis tempatan.
Jiran yang cuba memberi bantuan kecemasan melaporkan, pasukan perubatan mengambil masa yang agak lama untuk tiba di lokasi kejadian. Isteri Dmitry, Natalya, mengesahkan perkara ini kepada media dan memaklumkan kucing tersebut yang diberi nama, Styopka, kebiasaannya bersikap jinak dan tidak berbahaya.
Punca kematian Dmitry belum diketahui dan masih menunggu pengesahan dari pakar forensik. Namun, difahamkan masalah diabetes dan tekanan darah tinggi turut menyumbang kepada kematiannya. – Agensi