Perjalanan seorang lelaki ke tempat kerja berakhir dengan tragedi apabila motosikal ditungganginya merempuh seekor kuda yang melintas secara tiba-tiba di Jalan Sempang Bukit Kuda, Merlimau, awal pagi Selasa.
Mangsa, Rajak Ismail, 59, yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jasin, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Nor Azlinda Nordin, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR dari arah Serkam menuju ke Semujuk sebelum melanggar haiwan berkenaan yang melintas dari arah kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat sebelum dituntut oleh waris keluarga.
Baca juga:
- ‘Kuala Lumpur rumah kita’ – Hannah Yeoh kecewa Dataran Merdeka dipenuhi sampah
- Prihatin nasib Orang Asli Kg Sungai Cot, Tunku Azizah tawar penempatan di tanah baginda
- Ketua balai polis direman tujuh hari bantu siasatan kes rasuah hampir RM500
Nor Azlinda berkata, siasatan mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran, namun pihaknya telah mengesan serta menemu bual pemilik kuda terbabit bagi membantu siasatan.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ahmad Aqil Yusoff di talian 013-9393747,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Harian








