Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tindakan segelintir pengguna dobi layan diri yang meninggalkan pakaian terlalu lama dalam mesin pengering mengundang kemarahan seorang lelaki, hingga dia tampil memberi amaran keras melalui satu video yang kini tular di TikTok.
Dalam rakaman berdurasi satu minit lebih itu, pemilik akaun @gemagnito tersebut meluahkan rasa kecewanya apabila kesemua lapan mesin pengering di premis berkenaan sudah atau sedang digunakan, namun enam daripadanya telah pun selesai proses pengeringan dan tidak diambil oleh pemilik pakaian.
“Gunalah otak, 10-15 minit tinggal takpa. Ini sampai mesin pengering tu dah sejuk!,” katanya dengan nada kesal.
Dia turut mengugut bahawa jika perkara itu berulang lagi, dia tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kesemua baju yang dibiarkan dalam mesin pengering dan mencampaknya ke luar kedai.
“Kali ni aku bagi muka, lain kali aku campak semua keluar dobi,” ujarnya.
Video tersebut mencetuskan perbincangan hangat di ruangan komen. Ada yang bersetuju dengan tindakannya, menyifatkan ia sebagai masalah sikap segelintir rakyat Malaysia yang pentingkan diri.
Seorang pengguna berkongsi pengalaman mengeluarkan pakaian dari mesin, namun dimarahi pemilik pakaian tersebut yang tidak berpuas hati kerana bajunya dipegang orang lain.
“Benda ni selalu sangat jadi. Dah selesai mengering pun, baju tak diambil. Orang lain pun nak guna juga,” tulis seorang netizen.
Insiden ini sekali lagi membuka perbincangan tentang etika menggunakan dobi layan diri yang kian popular di bandar-bandar besar, tetapi kadangkala mencetuskan ketegangan apabila pengguna tidak bertanggungjawab.








