Seorang lelaki nekad menetak rakan sendiri dalam kejadian di pekan Bukit Pelandok, kelmarin, hanya kerana tidak berpuas hati mangsa enggan meminjamkan wang kepadanya.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 6.15 petang.
Bertindak di atas maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah menahan suspek berusia 33 tahun di kediamannya di Taman Murni, Chuah.
Turut dirampas sebilah parang yang dipercayai digunakan suspek untuk menyerang mangsa dalam kejadian tersebut.
Dalam siasatan awal mendapati, suspek dan mangsa adalah rakan dan berlaku pertengkaran di antara mereka apabila mangsa tidak mahu meminjamkan wang kepada suspek.
Ketika itu, suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol dikatakan hilang kawalan lalu menyerang mangsa menggunakan senjata tajam.
Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati, suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Malah, suspek juga merupakan individu yang dikehendaki polis bagi satu kes dadah.
Keputusan ujian saringan air kencing turut mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Suspek kini direman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan berdepan dengan hukuman penjara selama 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sumber: Berita Harian