Seorang lelaki warganegara Kemboja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa lalu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melibatkan pekerja syarikat penerbangan dalam insiden pada 28 September lalu.
Tertuduh, Lin Weida, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, menurut laporan Utusan Malaysia.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pramugari ketika dalam penerbangan dari Hong Kong ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 5.20 petang.
Baca juga:
- Polis nafi dakwaan MPV ‘escort’ kenderaan bawa kabel curi di Ampang
- Lelaki maut dipercayai diserang harimau di Sungai Siput
- ‘Raja Penyu’ kembali ke negeri paling bahagia, bertelur 70 biji di Kuala Abang
Kesalahan ini didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Lin didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Sheikh Muhammad Syafiq Sh. Khalid, pegawai keselamatan Batik Air di bangunan satelit KLIA pada jam 7.50 malam hari sama.
Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan prosiding jatuh hukum dilakukan pada Rabu di Mahkamah Majistret kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa berkenaan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim.








