Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Polis telah menahan seorang lelaki berusia 47 tahun berhubung kemalangan yang melibatkan dua kenderaan di Taman Sungkai Perdana, Sungkai, selepas video insiden itu tular di platform sosial X pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi, berkata laporan mengenai kemalangan itu diterima daripada seorang wanita berusia 23 tahun. Insiden berlaku pada Isnin lalu, sekitar jam 1.28 petang, membabitkan Perodua Axia yang dipandu pengadu dan Perodua Aruz milik suspek.
Menurut Mohd Naim, siasatan awal mendapati wanita itu sedang dalam perjalanan dari rumahnya ke sebuah kedai untuk membeli makanan apabila kenderaan lelaki berkenaan secara tiba-tiba masuk ke laluannya dan melanggar bahagian hadapan keretanya.
“Kemalangan itu tidak mengakibatkan kecederaan kepada kedua-dua pemandu, namun kenderaan mereka mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan bahawa lokasi kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), namun siasatan lanjut berjaya mengenal pasti suspek dan menangkapnya.
Punca sebenar kemalangan masih disiasat, dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, IPD Tapah, Sarjan Sadri Omar di talian 016-9266800 untuk membantu siasatan.
Sumber: Sinar Harian