Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular sebuah video yang merakamkan seorang lelaki yang bertindak mematahkan pengilap cermin beberapa buah kenderaan yang diparkir di depan deretan kedai.
Kejadian yang berlaku berhampiran Terminal Batu Pahat itu menyaksikan seorang lelaki yang memakai topi dan menyandang beg berwarna hitam menuju ke sebuah kenderaan dan kenderaan lain dan mematahkan pengilap cermin kereta.

Menerusi hantaran video yang tular, dikatakan lebih 10 buah kereta ‘dikerjakan’ lelaki berkenaan.
Susulan itu, polis telah menahan lelaki berkenaan yang merupakan seorang warga asing.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, suspek yang berusia 25 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
“Polis turut menemui pisau lipat dalam beg sandang milik suspek semasa tangkapan dilakukan ke atasnya.
“Susulan itu, suspek yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tiga kertas siasatan dibuka membabitkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Dalam pada itu, Shahrulanuar berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah.
Sumber: Polis Batu Pahat








