Gara-gara menumbuk adik kandung hanya kerana berang ditegur kentut di dalam kereta minggu lalu, seorang mekanik telah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ridzuan Samsudin, 37, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menumbuk hidung dan mulut adik kandungnya, Nurul Hanis Samsudin, 32, semasa berada di tempat duduk belakang sebuah kereta di kawasan parkir pasar raya Lotus di Jalan Peringgit, Melaka Tengah, pada pukul 11 pagi pada 11 September lalu.
Pertengkaran antara tertuduh dan adiknya bermula apabila tertuduh kentut di dalam kereta dan ketawa, lalu mangsa menegur perbuatan tersebut serta mengungkit kisah silam.
Tertuduh yang berang kemudian menumbuk adiknya beberapa kali di bahagian hidung dan mulut, menyebabkan mulut wanita itu berdarah serta bengkak.
Mangsa kemudian membuat laporan polis dan laporan rawatan di Hospital Melaka mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu pada mulut, pipi kanan dan dahi kiri.
Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh yang mendatangkan kecederaan terhadap adik kandungnya. Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon hukuman ringan dengan alasan hanya bekerja sebagai mekanik di bengkel sendiri dan menanggung tanggungjawab terhadap isteri dan enam orang anak.
Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh dipenjara selama tujuh hari bermula dari tarikh ditangkap pada 14 September lalu.
Sumber: Malaysia Gazette