Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular video di media sosial seorang lelaki dibelasah beramai-ramai dalam kejadian yang berlaku berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) petang semalam, menyebabkan tujuh lelaki ditahan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan di sekitar Skudai dan Johor Bahru.
Siasatan awal mendapati, mangsa dan suspek saling tidak mengenali. Berlaku perselisihan faham di antara mereka mengenai perebutan tempat duduk di ruang pelepasan Lapangan Terbang Miri, Sarawak.
Sebaik sahaja tiba di Johor, mangsa dibelasah oleh suspek bersama sekumpulan lelaki yang dipercayai rakannya, di tepi jalan berhampiran LTAS pada jam 1.30 petang.
Mangsa, 39, mengalami kecederaan luka calar dan bengkak kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Bertindak di atas laporan, polis telah menahan empat suspek terbabit dan turut merampas dua kenderaan jenis Honda Accord dan Mazda 6, alat kawalan jauh, empat telefon bimbit dan dua batang kayu rotan.
Semakan rekod juga mendapati, empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, polis sedang mengesan seorang suspek berusia 40-an yang masih bebas.
Sumber: Harian Metro








