Seorang lelaki warga Denmark berusia 69 tahun meninggal dunia selepas meminum air kelapa yang telah rosak dan tercemar dengan kulat berbahaya, menyebabkan kerosakan otak dalam tempoh kurang sehari.
Kejadian yang dilaporkan dalam satu kajian perubatan pada tahun 2021 ini bermula apabila mangsa meminum air terus dari sebiji kelapa menggunakan straw yang disediakan. Menyedari airnya berbau dan berasa pelik, lelaki itu hanya meneguk sedikit. Namun, selepas membelah kelapa tersebut, dia mendapati bahagian dalamnya berlendir dan kelihatan rosak.

Kelapa itu telah dikupas dan dibungkus secara komersial lengkap dengan lubang serta straw. Sepatutnya, ia disimpan dalam peti sejuk pada suhu 4°C hingga 5°C. Namun, kelapa tersebut dibiarkan di atas meja dapur selama sebulan sejak dibeli.
Tiga jam selepas meminum air kelapa itu, lelaki berkenaan mula mengalami peluh berlebihan, loya dan muntah. Apabila paramedik tiba, dia dilaporkan keliru, tidak stabil, kulitnya pucat dan lembap, namun masih boleh menggerakkan anggota badan.
- ‘Bukan untuk berlumba, bukan menunjuk hebat’ – Peserta RXZ Members 8.0
- Maryam akui pilih Islam kerana keyakinan sendiri, bukan paksaan
- Penceramah bebas dilepas, bebas daripada tiga pertuduhan seksual
- Misteri kehilangan vlogger Thailand terjawab, ditemui mati di Hotel Georgia
- ‘Kalau betul saya sakau, tahun 2018 Tun M dah penjarakan saya’ – Abdul Azeez
Dia dibawa ke hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi selepas tahap kesedarannya merosot. Selepas 26 jam dirawat, keadaannya menunjukkan tanda-tanda kematian otak dan rawatan dihentikan.

Hasil pemeriksaan menunjukkan punca kematian adalah keracunan asid 3-nitropropionik (3-NPA), sejenis toksin berbahaya yang dihasilkan oleh kulat Arthrinium saccharicola yang mencemari air kelapa tersebut. Toksin ini mengganggu fungsi sel dan menyebabkan kerosakan otak yang teruk.
Pakar menjelaskan gejala keracunan ini sama seperti kes keracunan tebu basi yang pernah dilaporkan di beberapa negara, dengan gejala awal seperti muntah dan cirit-birit, diikuti masalah saraf yang boleh membawa kepada koma dan kematian.








