Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki dari London, Nick Silverthorn, 48, berjaya menerima pampasan sebanyak $6,250 (kira-kira RM28,000) selepas mengalami luka pada kedua-dua pipinya ketika menggunakan pisau cukur jenama pasar raya yang dibelinya di sebuah kedai Sainsbury’s.
Insiden itu berlaku pada 26 Disember 2023, ketika Nick bercukur menggunakan pisau cukur Men Advance 3, berharga $3 (kira-kira RM13) yang baru dibelinya. Namun, beliau mendapati salah satu bilah pisau cukur tersebut longgar, menyebabkan kecederaan pada wajahnya.
“Ini bukan luka biasa. Ia benar-benar menghiris kulit saya. Darah tidak berhenti selama lebih 20 minit, dan saya terpaksa menggunakan tisu selama hampir setengah jam untuk menghentikannya,” kata Nick.
Nick kemudian segera mengambil gambar kecederaannya, menyimpan pisau cukur yang rosak, kotak, dan resit sebagai bukti. Luka tersebut mengambil masa beberapa minggu untuk sembuh sepenuhnya, malah meninggalkan parut pada pipinya. Beliau juga mengalami trauma akibat kejadian itu, termasuk mimpi buruk berulang.
Tidak berdiam diri, Nick menghubungi firma guaman Express Solicitors untuk mendapatkan bantuan. Firma itu kemudian membawa kesnya kepada pengilang pisau cukur tersebut, Wilkinson Sword, yang akhirnya bersetuju menyelesaikan tuntutan itu di luar mahkamah.
Pakar liabiliti produk, Jack Klein, yang mengendalikan kes ini, berkata, “Kebanyakan orang tidak terfikir untuk menyaman pengeluar pisau cukur apabila mereka terluka semasa bercukur. Namun, tindakan Nick membuktikan bahawa sekiranya seseorang mengalami kecederaan akibat produk, terdapat kemungkinan tuntutan sah, walaupun melibatkan syarikat besar.”
Kejadian ini menjadi peringatan kepada pengguna agar lebih berhati-hati dengan produk yang digunakan, dan sentiasa menyimpan bukti jika berlaku insiden seumpama itu. – Agensi








