Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah pusat beli-belah terkenal, Aeon Mall Long Biên di Hanoi, semalam.
Menerusi video yang tular, kejadian berlaku sejurus selepas satu persembahan tarian kebudayaan bersempena Minggu Malaysia Madani 2025, yang bertujuan mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026, selesai dipersembahkan. Suasana kemudiannya bertukar gamat dengan teriakan penonton apabila lelaki tersebut dilihat terjatuh berhampiran pentas utama.
Beberapa imej yang tersebar di media sosial menunjukkan lelaki berkenaan terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri berdekatan pentas acara.
Ketika kejadian, kawasan sekitar dipenuhi orang ramai termasuk keluarga dan kanak-kanak yang hadir menyaksikan acara tersebut. Beberapa individu dilihat segera menghampiri mangsa untuk memberikan bantuan awal.
Baca juga:
- Disangka cucu, nenek tampar lelaki di kafe siber sebelum sedar tersilap orang
- Tular video remaja Thailand bergelut dengan lelaki Australia di Stesen Epping, Sydney
- Video kembali tular, restoran di Iran enggan terima bayaran pelanggan China
Memetik laporan Tuoi Tre (Youth), wakil Aeon Mall Vietnam mengesahkan insiden tersebut pada petang Ahad, dan memaklumkan bahawa mangsa telah segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Namun, keadaan terkini mangsa masih belum diketahui.
“Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat lanjut dan tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan tambahan buat masa ini,” kata wakil berkenaan.
Terdahulu, beberapa insiden serupa pernah dilaporkan berlaku di Van Hanh Mall, Bandar Ho Chi Minh, melibatkan individu yang dipercayai terjun dari tingkat atas pusat beli-belah itu dalam tempoh yang singkat.
Kejadian-kejadian tersebut telah menarik perhatian masyarakat terhadap isu keselamatan di kompleks membeli-belah, malah turut memberi kesan kepada operasi beberapa jenama dan penyewa premis.
Sebagai langkah pencegahan, Van Hanh Mall telah mengambil inisiatif memasang jaring keselamatan bagi mengelakkan tragedi seumpama itu daripada berulang.








