Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
INDONESIA – Seorang lelaki dari Jetis, Daerah Semarang, dikenali sebagai, Eko Prasetyo, 22, berdepan dengan hukuman penjara 15 tahun selepas didakwa membunuh seorang wanita di sebuah bilik hotel di Semarang.
Eko didakwa bertindak ganas setelah mangsa, Nadia Juni Setya Utami, 25, mengejeknya dengan panggilan ‘gendut’ atau gemuk.
Kes ini terbongkar apabila seorang pekerja hotel di Jalan Mpu Tantular, Semarang, menemui mayat mangsa yang disembunyikan di bawah katil di salah satu bilik hotel tersebut pada Sabtu lalu, yang mendorong pihak polis menjalankan siasatan.
Ketua Polis Daerah Semarang, Asisten Komisioner Irwan Anwar berkata, mangsa ditemukan dengan kesan cekikan di leher, memakai baju babydoll bermotif bunga, dan mempunyai tatu di kedua-dua tangan, dengan wajahnya ditutup jaket.
Berang diejek ‘gendut’
Eko menginap di tersebut sejak Selasa, 5 November 2024, dan pernah membuat beberapa ‘langganan’ melalui aplikasi MiChat sebelum bertemu dengan Nadia pada Khamis, 7 November. Setelah Nadia tiba di bilik, Eko merasa kecewa kerana penampilan mangsa tidak sama dengan gambar di aplikasi itu.
“Dalam gambar cantik, tapi yang datang tak sama,” keluhnya.
Namun, Eko tetap meneruskan niatnya dan mereka menjalinkan hubungan intim kira-kira 45 minit. Keadaan menjadi tegang apabila Nadia, yang baru keluar dari bilik mandi, mengejek Eko dengan berkata, “Kau tu gendut, kenapa order-order MiChat.”
Ejekan itu membuatkan Eko berang dan merasa terhina, lalu menyerang mangsa.
Mangsa dicekik dan dipijak hingga mati
Eko bertindak mencekik Nadia selama lima minit sehingga mangsa tidak sedarkan diri, sebelum leher dan dada mangsa dipijak sehingga meninggal dunia.
“Saya cekik, lalu saya pijak leher dan dadanya,” kata Eko dengan tenang.
Selepas membunuh mangsa, Eko kekal di dalam bilik, menonton TV dan merokok. Dalam masa sama dia memikirkan cara untuk menyembunyikan mayat mangsa. Akhirnya, dia menyembunyikan tubuh Nadia di bawah katil.
“Kalau saya letak di bilik mandi, nanti receptionist tahu pula,” tambahnya.
Pura-pura mencari sarapan
Keesokan harinya, Eko berpura-pura keluar untuk mencari sarapan tetapi sebenarnya berniat melarikan diri. Dia memaklumkan kepada petugas kaunter dan menaiki van menuju ke Boyolali, di mana dia akhirnya ditangkap.
Menurut Irwan Anwar, Eko akan didakwa di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan berkaitan pembunuhan, serta Seksyen 365 ayat 3 Kanun Keseksaan tentang Rompakan dengan Kekerasan, memandangkan Eko turut mengambil telefon bimbit milik mangsa. – Agensi