Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki dalam lingkungan usia 50-an ditahan pihak polis selepas disyaki membunuh ibunya dan menyimpan mayat wanita itu dalam peti sejuk beku di kediaman mereka di Taman OUG, Jalan Hujan Abu 6, di sini, sejak tiga tahun lalu.
Insiden ini terbongkar apabila suspek sendiri menghubungi pihak kecemasan sekitar jam 9 pagi tadi bagi mendapatkan bantuan perubatan kerana dia tidak sihat.
Bagaimanapun, ketibaan anggota polis ke lokasi menemui mayat ibunya yang disimpan di dalam peti sejuk beku rumah tersebut.
Lapor Harian Metro, suspek mengaku telah membunuh ibunya yang berusia 80-an, sekitar bulan Mac 2021. Wanita tersebut dikatakan dipukul terlebih dahulu sebelum mayatnya dibalut dengan tuala dan plastik, lalu disimpan dalam peti sejuk beku.
Difahamkan, suspek mendakwa dia bertindak sedemikian akibat tekanan kewangan dan masalah kesihatan kronik yang dihadapinya, setelah kehabisan wang simpanan.
Polis segera menahan suspek di lokasi kejadian, manakala mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengesahkan kes ini sedang disiasat bagi mengenal pasti latar belakang dan punca kejadian.








