Satu video detik cemas memaparkan seorang lelaki bertarung menyelamatkan diri daripada arus deras banjir besar di Aceh tular di media sosial, sebelum mangsa akhirnya berjaya diselamatkan penduduk setempat.
Menerusi rakaman awal kejadian, seorang individu dilihat melemparkan tali kepada mangsa untuk dijadikan tempat berpaut, namun tali berkenaan teputus menyebabkan mangsa hilang kawalan. Orang ramai yang berada di lokasi menjerit meminta mangsa memegang tiang konkrit berdekatan dan memanjatnya bagi mengelakkan dirinya terus dihanyutkan.
Mangsa kemudiannya menunjukkan kegigihan luar biasa apabila berjaya memanjat tiang konkrit tersebut, walaupun dalam keadaan keletihan. Sorakan dan kata-kata semangat daripada orang ramai kedengaran berterusan dalam video itu.
“Nanti kita cari bantuan ya,” ujar seorang wanita yang merakam kejadian berkenaan.
Difahamkan, mangsa terpaksa bertahan di atas tiang itu selama kira-kira tujuh jam sebelum usaha menyelamat dapat dilakukan. Dalam rakaman seterusnya, penduduk melemparkan tali baharu kepada mangsa sebelum mengikatnya pada tiang. Lelaki itu kemudian mengharungi arus deras dengan berpaut pada tali tersebut sehingga berjaya ditarik ke tempat selamat.
Baca juga:
- Gagal ke Piala Dunia, Omar Artan kini cipta sejarah di UEFA Super Cup
- Netanyahu tegaskan tiada negara Palestin selagi beliau jadi Perdana Menteri
- Dua bayi tertukar di hospital, kebenaran terbongkar selepas lebih tiga dekad
Doa dan laungan semangat jelas kedengaran sepanjang usaha menyelamat itu. Walaupun kelihatan lemah, ketabahan dan semangat juangnya menarik perhatian ramai pengguna media sosial.
Banjir besar yang melanda Aceh ketika ini disifatkan penduduk sebagai “tsunami kecil”, selain turut menenggelamkan beberapa wilayah lain termasuk daerah Aceh Timur, Kota Lhokseumawe, Bireuen, Kota Langsa, Pidie, Pidie Jaya dan Aceh Utara.








