Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa akses ke portal MyKhas disekat sejak penghujung Mei lalu sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan pada Julai bahawa baki peruntukan RM3 juta bagi kawasan itu tidak lagi disalurkan melalui Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.
Dalam kenyataannya, Lee berkata beliau telah berusaha mendapatkan penjelasan melalui pelbagai saluran berhubung status baki peruntukan tersebut, namun mendakwa tiada penjelasan rasmi diberikan sehingga kini.
Beliau berkata, selepas program Perdana Menteri di Petaling Jaya, beliau menerima tangkap layar daripada kumpulan WhatsApp Jawatankuasa Cabang PKR Petaling Jaya yang memaklumkan permohonan kerja-kerja kecil dan sumbangan kewangan bagi Parlimen Petaling Jaya boleh dirujuk kepada Ketua Cabang PKR Petaling Jaya, Hee Loy Sian.
Persoalan timbul mengenai pengurusan baki peruntukan RM3 juta
Menurut Lee, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai mekanisme baharu pengurusan peruntukan awam, khususnya apabila dana yang diperuntukkan untuk rakyat didakwa tidak lagi melalui Ahli Parlimen kawasan tersebut.
Beliau mempersoalkan sejak bila dana rakyat boleh diserahkan kepada ketua cabang parti politik, sambil menegaskan peruntukan Parlimen sepatutnya diurus secara telus untuk manfaat semua penduduk tanpa mengira latar belakang politik.
Lee turut mempersoalkan sama ada tindakan memindahkan kuasa pengurusan dana rakyat kepada pemimpin parti politik merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa, selain meminta penjelasan mengapa tiada pengumuman rasmi, pekeliling atau garis panduan berkaitan perubahan tersebut dibuat kepada rakyat Petaling Jaya.
Baca juga:
- Lee Chean Chung pula dakwa akses MyKhas disekat
- ‘Mia dah dapat cermin kereta baru’ – Aktivis Sabah
- ‘Bukan nak menjilat Cina, tapi hargai manfaat diberi’ – Sheikh Omar
Beliau berkata kerajaan perlu menjelaskan bagaimana baki RM3 juta itu diuruskan, termasuk sama ada dana berkenaan masih berada di bawah kawalan kerajaan dengan proses yang telus atau disalurkan melalui saluran yang dikendalikan pihak tertentu.
“Selain Ahli Parlimen Petaling Jaya dan Subang, terkini termaklum bahawa peruntukan Ahli Parlimen Ampang turut disekat,” katanya sambil mempersoalkan sama ada perkara sama berlaku di kawasan Parlimen lain.
SPRM, Kerajaan Perpaduan digesa jelaskan mekanisme pengurusan dana awam
Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan penjelasan sama ada mekanisme tersebut selaras dengan prinsip tadbir urus, integriti dan undang-undang.
Pada masa sama, Lee meminta parti komponen Kerajaan Perpaduan menyatakan pendirian berhubung isu pengurusan dana awam oleh pemimpin parti politik tanpa makluman rasmi kepada rakyat.
Beliau menegaskan isu berkenaan bukan berkaitan kepentingan seorang Ahli Parlimen, sebaliknya melibatkan aspek ketelusan, akauntabiliti serta hak rakyat Petaling Jaya untuk mengetahui pihak yang menguruskan baki peruntukan kawasan mereka, termasuk prosedur dan mekanisme semakan yang digunakan.
“Kerajaan wajib memberikan jawapan yang jelas dan terbuka kepada rakyat,” katanya.









