Lebih 600% kawasan Mekah menghijau dalam tempoh 5 bulan - The Reporter

Lebih 600% kawasan Mekah menghijau dalam tempoh 5 bulan

Sumber gambar: BNN

Lebih 600 peratus dalam tempoh lima bulan, kawasan wilayah Makkah dilaporkan semakin menghijau.

Menurut Pusat Pembangunan Tumbuhan dan Memerangi Desertifikasi Kebangsaan Arab Saudi keadaan itu disebabkan musim lembap berterusan yang menyaksikan taburan hujan mencecah 200 milimeter di beberapa kawasan.

Analisis data penderiaan jauh menyatakan kawasan yang subur dengan tumbuhan hijau meliputi 3,529.4 kilometer (km) persegi pada Ogos lalu mewakili kira-kira 2.3 peratus daripada keseluruhan wilayah tersebut dan kemudiannya meningkat kepada 26,256km persegi menjelang akhir tahun 2023.

Pada Disember, sehingga 17.1 peratus kawasan menghijau yang tertumpu di kawasan pergunungan dan tanah tinggi selari dengan pantai Laut Merah dengan ketinggian 500 hingga 2,600 meter di Makkah, Taif, Al-Laith, al-Jammoum, Al-Kamil dan Khalis.

Pusat tersebut sedang mengkaji status kawasan yang menghijau serta memantau sebarang perubahan.

Menurut pusat itu, kajian menggunakan teknik pengesanan jauh serta teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencapai matlamat projek penghijauan hutan dan Inisiatif Hijau Saudi.

Dalam pada itu, pusat ini juga berusaha untuk melindungi dan mengkaji kawasan-kawasan tersebut yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Transformasi Kebangsaan yang direka untuk membantu mencapai matlamat pembangunan dan pelbagai agenda visi kerajaan 2030.

Sumber: Arab News

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!