Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sejak diperkenalkan pelaporan tahap penguasaan (TP) 1-6 Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), ramai ibu bapa yang mengeluh dengan pelaporan berbentuk demikian. Kata mereka, sukar untuk mengetahui sejauh mana pencapaian anak-anak mereka didalam kelas.
Selain itu juga, ibu bapa menyatakan mereka keliru dengan sistem permarkahan yang dibuat.
Susulan itu, bermula sesi persekolahan ini, pelaporan tahap penguasaan UASA bagi semua mata pelajaran murid di sekolah akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira pandangan ibu bapa yang keliru dengan pelaporan TP sebelum ini.
“Sebelum ini, berlaku pertikaian dalam kalangan ibu bapa yang mempersoal bagaimana nak ukur prestasi pembelajaran anak mereka.
“Sebagai contoh, TP 6 itu apa (maksudnya tahap penguasaan bagaimana) dan selepas ini tiada lagi paparan TP sebaliknya ia dipaparkan dalam bentuk peratus dan gred,” katanya.
Namun begitu kata Fadhlina, penggunaan TP masih digunakan dalam pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
“Bagaimanapun, penggunaan TP masih digunapakai dalam pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) namun, bagi pelaporan UASA ia dikeluarkan dalam bentuk peratus dan gred,” katanya.
Sumber: Kosmo Online








