Lori langgar trak FRU sebab muatan berlebihan, masuk lorong salah | The Reporter

Lori langgar trak FRU sebab muatan berlebihan, masuk lorong salah

Lori tipper terbalik selepas langgar trak FRU di Teluk Intan
Keadaan lori yang terbalik selepas melanggar trak FRU akibat muatan berlebihan dan masuk lorong bertentangan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Lori tipper yang melanggar trak FRU di Teluk Intan didapati membawa muatan batu kerikil melebihi spesifikasi dibenarkan
• Laporan dapati lori masuk ke laluan bertentangan berdasarkan kesan brek dan geseran tayar
• Tiada kerosakan teknikal dikesan, sebaliknya faktor pemanduan dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan

Siasatan awal kemalangan membabitkan lori tipper dan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada Mei lalu mendedahkan lori terbabit membawa muatan berlebihan dan memasuki laluan bertentangan sebelum pelanggaran berlaku.

Laporan Awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan yang diterbitkan di laman web rasmi pada Khamis menunjukkan, lori itu melanggar kelulusan teknikal apabila mengangkut batu kerikil menggunakan pagar sisi setinggi 1,016 mm, sedangkan ketinggian maksimum yang dibenarkan bagi muatan jenis itu ialah 762 mm.

Muatan berlebihan itu juga tidak sejajar dengan kebenaran asal iaitu untuk membawa arang batu, yang memiliki ketumpatan pukal lebih rendah.

Apa punca sebenar kemalangan ini?

Berdasarkan siasatan lokasi, kemalangan dipercayai berlaku selepas lori memasuki lorong bertentangan dan melanggar trak FRU yang melalui laluan itu secara sah.

Di kawasan simpang jalan, kesan brek sepanjang 4.1 meter serta jarak 32 sentimeter antara dua garisan brek dikesan selari dengan jarak tayar belakang lori berkenaan. Ini menyokong kemungkinan kuat bahawa kesan brek itu dihasilkan oleh lori tipper terbabit.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada bukti kegagalan teknikal pada sistem utama kenderaan seperti brek, tayar, stereng atau suspensi. Namun, tanda pemanasan melampau pada brek dram menunjukkan brek digunakan secara berlebihan, berkemungkinan besar ketika cubaan mengejut mengelak perlanggaran.

Laporan itu juga menolak dakwaan awal pemandu lori berkenaan yang menyatakan kemalangan berpunca daripada kerosakan sistem stereng. Sebaliknya, semua sistem kenderaan berada dalam keadaan baik mengikut piawaian selepas pemeriksaan dijalankan oleh JPJ dan PUSPAKOM.

Sumber: Buletin TV3, Majoriti

Related Posts