Mahkamah Sesyen Sivil hari ini mengarahkan pelakon, Amelia Henderson membayar lebih RM200,000 kerana melanggar kontrak syarikat penerbitan, A Aida Production Sdn Bhd.
Hakim, Zulqarnain Hassan juga memutuskan supaya pelakon itu atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, memohon maaf dan memadam video di Instagram mengandungi kenyataan fitnah terhadap syarikat itu.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman dikemukakan syarikat terbabit terhadap Amelia berhubung isu kontrak sebuah drama, Sekali Lagi Cinta Kembali, tahun lalu.
“Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah berpuas hati plaintif (syarikat itu) berjaya membuktikan tuntutan. Justeru, mahkamah membenarkan permohonan pada penyata tuntutan dan bayaran pertama RM3,920 dipulangkan kepada plaintif dibenarkan dan faedah lima peratus daripada bayaran itu.
“Ganti rugi teladan dan teruk tidak dibenarkan. Faedah lima peratus daripada RM202,650 dan dibenarkan lima peratus daripada RM101,325, selain kos dibenarkan RM18,000,” katanya.
Sepanjang perbicaraan bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk Datuk A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 53 dan tiga saksi defendan termasuk Amelia memberi keterangan.
Ketika perbicaraan, pengurus produksi A Aida Production, Fazeyla Ahmad, 42, memberitahu mahkamah, syarikat itu terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dibuat Amelia.
Namun, Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika menerima tawaran untuk membintangi drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
Amelia dan Idris berdepan tindakan saman daripada A Aida selepas didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani.
A Aida bersama pengarah drama Sekali Lagi Cinta Kembali, Rizal Baharuddin dilaporkan sepakat membawa perkara itu ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, saman antara A Aida dan Idris berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk dibicarakan.
Sementara itu, Amelia ketika ditanya hubungan dengan Aida selepas ini, Amelia berkata, mereka akan berbaik sahaja dan tiada perkara negatif perlu diperkatakan.
“Pengalaman saya bekerja dengan Aida sangat seronok. Saya harap semua faham ini adalah percanggahan pendapat profesional.
“Saya hormati semua orang dalam industri ini, baik Aida atau siapa pun yang saya pernah bekerjasama. Saya dapat pengalaman yang sangat menyeronokkan bekerja dengannya,” katanya.
Dalam satu kenyataan lain pula, Datuk A Aida, 53, dikatakan tidak lagi berminat bekerjasama dengan Amelia Henderson, 27, susulan pelanggaran kontrak perjanjian membabitkan syarikat produksi diasaskannya dengan pelakon terbabit.
“Iya, memang saya tidak akan bekerjasama lagi dengannya (Amelia). Sepanjang saya jadi penerbit, ini kali pertama artis menarik diri (daripada penggambaran) pada saat akhir.
“Sepanjang 25 tahun saya jadi penerbit, tidak pernah seumur hidup saya berlaku perkara seperti ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian