Pelakon, penerbit dan aktivis masyarakat, Lando Zawawi berkongsi kisah menyentuh hati tentang seorang pemuda bernama Botak, yang menjadi punca utama dia memilih untuk bertanding di Tanjung Karang pada pilihan raya lalu.
Menurut Lando, arwah Botak bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi, namun semangat dan keikhlasan budak penghantar barang itu telah mengubah banyak perspektif hidupnya.
“Budak ni kerja hantar barang. Macam rider Grab, tapi masa tu belum ada lagi Grab. Nama dia arwah Botak. Dia punca kenapa saya bertanding di Tanjung Karang,” katanya dalam satu rakaman audio siar UKM Pakarunding.
Lando menceritakan bagaimana Botak mula-mula mengikuti pergerakannya sebagai sukarelawan menampal jalan berlubang. Malah, Botak menggunakan tangan sendiri untuk menampal lubang, bukan cangkul seperti biasa.
“Saya tanya, kenapa pakai tangan? Dia jawab sebab nak ajar tangan dia berbudi. Dia kata, bila meninggal nanti, mulut akan dikunci, tapi anggota badan akan menjadi saksi.
“Saya ingat dia gila masa tu. Tapi dia cakap, dia nak tangan dia buat benda baik, supaya nanti bila disoal di akhirat, tangan dia boleh jawab,” katanya.
Lando turut mengenang momen manis sewaktu Botak beberapa kali datang menemaninya di kafe mahal. Setiap kali dia berniat mahu belanja arwah, pasti akan ada individu lain yang membayarkan bil mereka.
“Saya datang dengan niat nak belanja dia, tapi setiap kali ada orang lain bayarkan. Itu antara perkara yang buat saya rasa arwah ni bukan orang biasa-biasa,” kongsinya.
Baca juga:
- Tonton World Cup 2026™ Tanpa Risau Data, Siap Berpeluang Menang Trip Bola Sepak RM250,000!
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Gorila Kiyomasa tular, muka ‘overthinking’ lepas bergaduh dengan pasangan
Botak meninggal dunia
Namun, takdir menentukan segalanya. Arwah Botak meninggal dunia dalam satu kemalangan ketika sedang menghantar barang dengan motosikalnya di Klang.
“Dia terlanggar lori masa hantar barang. Saya minta gambar, dan bila saya tengok… Tangan dia dalam keadaan angkat kalimah syahadah. Allahuakbar,” luahnya sebak.
Lando juga berkongsi rasa terharu melihat begitu ramai yang hadir ke pengebumian arwah, lebih ramai daripada mana-mana pengebumian artis yang pernah dihadirinya.
“Dia bukan artis. Tapi ramai sangat datang. Orang tanya, dia siapa? Saya cakap, dia cuma rider bro. Tapi dia berjasa, walaupun orang tak kenal,” katanya.
Lando menegaskan, arwah Botak pernah menyuarakan hasrat untuk berbakti kepada Tanjung Karang, dan itu antara sebab utama dia bertanding di kawasan tersebut, meskipun akhirnya tidak berjaya menang.
“Walaupun saya kalah, saya sempat turap sembilan sekolah di Tanjung Karang. Janji saya pada arwah, saya tunaikan juga,” jelasnya.
Sumber: TikTok UKMPakarunding











